6 FAEDAH YANG DIPEROLEHI MELALUI AMALAN BERJIMAT CERMAT

0 Comments

6 Faedah Yang Diperoleh Melalui Amalan Berjimat Cermat

Jika diamati secara mendalam, amalan berjimat cermat adalah amalan murni yang seharusnya dijadikan amalan sejak kecil lagi. Sebagai ibu bapa, kita juga seharusnya mendidik anak-anak kita supaya berjimat dan menabung. 

Kehadiran GST yang bakal muncul pada 1 April 2015 ini, menambahkan lagi keperluan untuk kita lebih berjimat dan berbelanja secara berhemah. Kita tidak berupaya untuk mengubah apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan, namun kita boleh mengawal ekonomi keluarga kita secara bijak. 

Nak tahu apa faedahnya jika kita berjimat? Jom lihat 6 faedah berjimat-cermat di bawah.

1. Lebih banyak duit

Berjimat bermakna seorang individu itu akan mempunyai lebih banyak wang pada akhir tahun. Ini merupakan salah satu faedah yang dapat diperoleh daripada amalan berjimat cermat atau bebelanja secara berhemah. Tanya diri sendiri, mengapa tidak menyimpan lebih banyak? Masih belum terlambat untuk bertindak. Saranan yang popular ialah menyimpan 10% daripada wang pendapatan pada setiap bulan, manakala orang Jepun mengamalkan menyimpan 20% setiap sebulan daripada pendapatan mereka.
JOM  MENABUNG

2. Fikiran lebih matang

Buat catatan untuk setiap perbelanjaan harian kita. Utamakan barangan keperluan. Sikap seperti ini boleh mengurangkan kesilapan membeli sesuatu barangan yang kurang perlu sehingga akhirnya barangan tersebut terbuang begitu sahaja. Seseorang itu akan menjadi lebih kritikal ketika membeli-belah. Sama ada barang itu satu keperluan atau satu kehendak, pasti dapat dinilai dengan lebih tepat. Cara ini dapat membantu kita mengkaji trend perbelanjaan dan menghalang pembaziran.
SENARAIKAN BAJET BULANAN
3. Jauhkan diri dari hutang
Paling penting, sebelum memulakan amalan berjimat-cermat, pastikan segala hutang telahpun dilangsaikan. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya akan terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri. Lebih awal seseorang itu berurusan dengan hutang, lebih mudah ia ditangani. Bolehlah berjimat tanpa menanggung beban hutang selepas itu.
ELAKKAN  BERHUTANG
4. Lahirkan masyarakat bijak
Apabila membeli atau memilih barang yang hendak dibeli, pengguna yang bijak mengetahui isi kandungan dan sumber barang tersebut sebelum membelinya. Dengan cara ini, masyarakat akan hidup dengan lebih kondusif dengan meminimumkan pembaziran. Seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.
JADILAH  PENGGUNA  YANG  BIJAK
5. Lebih banyak pilihan
Apabila seseorang memutuskan untuk menjimatkan wang dan menjadikan tabiat itu sebagai gaya hidup, terlalu banyak pilihan akan tersedia. Seseorang itu boleh melabur atau membeli sesuatu yang mereka inginkan hasil daripada wang yang terkumpul melalui amalan berjimat. Hidup yang mempunyai banyak pilihan adalah lebih baik.

PELABURAN  BIJAK
6. Jaminan masa depan

Amalan menjimatkan wang boleh dijadikan sebagai tabung simpanan wang untuk masa depan. Hal ini kerana, wang simpanan itu boleh dijadikan bekalan apabila seseorang menghadapi kesusahan pada hari muka. Hal ini bertepatan dengan pepatah lama iaitu sediakan payung sebelum hujan. Seseorang itu tidak akan menghadapi kesulitan wang pada masa akan datang.
BEBAS  KEWANGAN

Kesimpulannya walau dalam keadaan apa sekalipun yang berlaku dalam negara kita, kita mesti bijak untuk mengawal dan menguruskan kewangan keluarga kita. Didik anak-anak kita dengan amalan berjimat cermat dari sekarang, supaya amalan tersebut menjadi sebati dalam jiwa mereka hingga mereka dewasa kelak. 



You may also like

Tiada ulasan:

VitaVitamin 2016. Dikuasakan oleh Blogger.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...